Pengantar Fiqh
Amanah : Rijalul Mabda’ – Manusia Berprinsip
Amanah merupakan barang paling berharga
yang teramat tinggi nilaninya dianugerahkan serta dibebankan ke atas manusia. Dengan
tawaran amanah ini, maka manusia dapat melaksanakan tugasnya selaku Khalifah di
bumi Tuhan ini. Maka kenapa ia sungguh penting dan tersangat berat sehingga
langit-langit dan bumi serta gunung ganang tidak mahu, tidak sanggup bahkan
gerun untuk menerimanya? Untuk menjawab
persoalan ini, ayuh teliti firman Allah swt di dalam Surah Al-Ahzab ayat 72:-
إِنَّا عَرَضْنَا
الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ
يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا
جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah
mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan
untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan
dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan
amat bodoh.
Maka apakah amanat ini? Buya Hamka menjelaskan dengan membawakan
tafsir Syaikh Muhd Jamaluddin Al-Qasimi, “Memperkeraskan disiplin bagi orang yang
beriman supaya hidup tetap dalam linkungan kejujuran, walaupun pahit. Sejak
dari ayat pertama dalam surah ini telah diperingatkan kepada Nabi ﷺ agar baginda
jangan mengikuti kehendak orang kafir dan munafiq dan hendaklah teguh memegang
dan menurut garis yang ditentukan Allah swt dalam wahyuNya. Peringatan supaya
keras mempertahankan garis perjuangan yang ditempuh itu diulang dua kali iaitu
di ayat 1 dan 47.”
Bahkan pesan Buya Hamka lagi
kepada ummat agar jangan bimbang dalam bertegas untuk mengikuti Nabi ﷺ, bagindalah contoh teladan hidup (ayat 21)
dan sebelumnya pada ayat 6 dijelaskan bahawa Nabi ﷺ
bagi orang beriman lebih penting dari dirinya sendiri. Dengan ketegasan hidup
yang demikian dapatlah jiwa orang yang beriman memegang teguh amanah. Tidaklah
mereka menjadi orang yang goyang pendirian, berjiwa kerdil, menjadi munafiq
atau menjadi musyrik. Betapa besar pun kehebatan musuh yang hendak menyerbu, walaupun
musuh bersekongkol bersama sekutu-sekutu untuk menghancurkan Islam, rencana
musuh itu akan gugur dan gagal disebabkan jiwa Islam yang menyambutnya kuat dan
kental.
Oleh yang demikian, hubungan
manusia sesama manusia pun terjamin kesejahteraannya kerana wujudnya amanah.
Amanah dalam politik pemerintahan yang dijalankan oleh pemerintah yang adil
adalah keselamatan serta kesejahteraan bagi seluruh negara. Amanah dalam
ekonomi dalam melancarkan, mencukupkan dan
mengamankan hubungan seluruh dunia.
Maka tepatlah kupasan Syed Qutb
ketika menafsirkan ayat yang sama ini “Manusia yang mengenali Allah dengan
pancainderanya serta perasaaannya dan mendapat petunjuk kepada asal fitrahnya
dengan tadabbur dan pengamatan yang tajam, serta beramal bertepatan dengan
fitrahnya dengan penuh usaha dan cubaan, mentaati Allah dengan kemahuannya
sendiri serta melawan arus kesesatan dan syahwat yang cuba mengkorupsikannya,
maka orang sebeginilah pada setiap langkahnya adalah insan yang didambakan yang
berjaya memikul amanah ini.”
Amanah dan Rijalul Mabda’
(Insan-Insan yang Berprinsip)
Lalu apakah hubungkait di antara
amanah dan Rijalul Mabda ini? Oleh kerana amanah suatu yang besar dan
berat tanggungannya, maka secara logiknya insan yang berjaya menggalasnya
adalah Rijalul Mabda’ berprinsip serta bertanggungjawab penuh
akauntabiliti. Barangkali persoalan ini akan lebih terungkai apabila kita
meneliti tulisan Abul Hasan Ali- Annadwi apabila beliau menyatakan bahawa
apabila Allah swt telah mentaqdirkan bahawa Islam adalah agama yang terpilih
dan benar serta universal, maka semestinya secara tabiatnya Islam dan ummatnya
akan menghadapi cabaran dari dalam dan luar, dan pada bila-bila masa sahaja.
Bahkan sejak dari zaman Nabi Adam a.s. hingga kini, ummat Islam serta aqidahnya
seringkali menjadi medan pergelutan dan diserang serta dihenyak dari pelbagai
sudut. Serangan ini semestinya akan menggugat jiwa, aqidah serta ketenteraman
hidup.
Tepatlah ungkapan Maulana Abul
Hasan Ali An-Nadwi:-
فالأمة التي تتغلب
على هذه المشاكل كلها وتخرج من هذه المعارك ظافرة منتصرة, هي أمة جديرة بالحياة,
صالحة للقيادة ولا يمكن لقوة سياسية أو غارة خارجية على كيانها وتمحوها من الوجود
Maka ummat yang berjaya
menewaskan kesemua cabaran ini, sekaligus menjadikannya ummat yang agung serta
layak untuk hidup, layak untuk memimpin, dan tidak mungkin bagi mana-mana
kekuatan politik, atau serangan luaran mampu menggugat struktur ummah ini dan
tidak mungkin melenyapkannya dari kewujudan.
Apakah Rahsia Ummat Islam
berjaya menghadapi keributan yang mengancamnya?
Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi
berkata ummat ini berjaya kerana memiliki dua kekuatan:-
1) Semangat yang tersimpan kukuh pada zat Islam itu sendiri serta
kesesuaiannya untuk terus memenuhi tuntutan kehidupan pada setiap zaman dan
ketika. Risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ
itu tiada kekurangan dan akan terus kekal relevan hingga hari akhirat.
Namun masakan
ini sahaja memungkinkan Islam terus gemilang dan menangani cabaran depan mata
serta menangkis serangan. Kita seharusnya sedar bahawa bicara pelbagai teori
dan kaedah Fiqh dan prinsip Islam seperti Fiqh Maqasid, Fiqh Mizan, Fiqh
Maalatul Af’al, Fiqh Taayush, Fiqh Taghyirul Munkar dan lain-lain teori fiqh
hanyalah menumpukan kepada zat Islam itu sendiri yang sememangnya tiada kelemahan.
Kesemua teori fiqh ini dan apa-apa konsep Islam tidak mungkin terhasil tanpa adanya
kekuatan yang kedua iaitu insan-insannya:-
2)
أن الله قد تكقل بأن يمنح هذه الأمة التي قضى ببقائها وخلودها رجالا
أحياء أقوياء في كل عصر ينقلون هذه التعاليم الإسلامية الى الحياة ويعيدون إلى هذه
الأمة الشباب والنشاطز
Sesungguhnya
Allah swt sendiri memberi janji untuk menganugerahkan ummat ini - ummat ini
dijanjikan Allah untuk terus kekal meskipun berhadapan cabaran mendatang iaitu
para Pejuang/Penggerak yang penuh penghayatannya kepada Islam serta gagah perkasa
pada setiap masa, dan mereka inilah yang menyebarkan ajaran Islam kepada
kehidupan dan mengembalikan ummah ke zaman kegemilangan.
Tiada mungkin bagi Ummah untuk
hidup, dan Syariah tidak mungkin akan terus kekal tanpa Rijalnya dan Mar’ahnya
(lelaki dan wanitanya) yang cukup jujur lagi amanah serta tinggi semangat
juangnya demi memartabatkan Syariah dan meletakkan Islam di tempat yang
tertinggi. Mustahil syariah ini akan hidup jika dibawa oleh Rijalnya
yang culas, mensia-siakan amanah yang dibebankan keatasnya. Tiada bermakna
kepada Maqasid Shariah, jika penggeraknya sekadar opportunis, dan korup serta hanya
memandang kepada keuntungan diri dan kelompoknya. Tidak mungkin bagi Shariah ditegakkan
apabila dipilih orang haloba lagi tamak berkuasa.
Penulis disini ingin memetik hanya
cebisan bingkisan kisah-kisah sejarah Islam tentang tokoh-tokoh Rijal
yang menggambarkan dengan jelas bagi kekuatan yang kedua ini.
Sayidina Ali كرم الله وجهه dan Siasah Berprinsip bersendikan Akhlak
Unsur moral dan akhlak diketepikan oleh puak-puak yang menentang
kepimpinan ’Ali r.a. Inilah pertama kalinya akhlak ditindas dalam sejarah
Islam. Pada hal politik dalam Islam adalah manifestasi akhlak dan budipekerti
di dalam sanubari diri dan berakarkan kepada fitrah. Jenayah paling besar
adalah apabila ruh Islam ini dimusnahkan dengan menumpaskan unsur moralnya
secara total.
Tidak terlintas oleh Ali r.a. untuk menggunakan kedudukan
istimewa sebagai khalifah bagi mengambil peluang dan melakukan penyelewengan.
Sebagai contoh ’Ali r.a. tidak mengambil apa-apa langsung daripada khazanah
negara tetapi ini bukan kerana kejahilannya. Dia bertindak demikian kerana
sebaik saja seorang itu menjadi pemimpin dia menjadi objek syak wasangka dan
contoh teladan. Dia tidak mahu dilihat oleh rakyat dan para gabenornya sebagai pengaut
wang rakyat dan dia ingin menjadi contoh amanah, kejujuran dan zuhud.
Ketempangan akan berlaku apabila dana kerajaan diberi secara bebas kepada suku
sakat dan kaum kerabat. Kebobrokan akan berlaku jika keluarga terdekat dan
rakan-rakan berkepentingan diberi kedudukan dan pangkat.
Bagi mereka yang inginkan
kedudukan dan yang telah biasa dengan keenakan tidak rela dengan peraturan
kesaksamaan dan keadilan. Mereka menyertai puak yang bersaing dengan ’Ali
kerana di sana mereka berpuashati dengan memijak-mijak kebenaran dan kesedaran.
Mereka melihat kelicikan politik pada lawannya yang tiada pada ’Ali r.a. Mereka
tersalah apabila meletakan ini sebagai kelebihan yang mengalahkan ’Ali r.a.
Mereka gagal memahami ’Ali r.a. dan cabaran yang mesti dia tangani. Tugas
paling besar ‘Ali r.a. adalah untuk memugar semula tradisi Islam dan ruh
sebenar keimanan serta meruntuhkan hijab yang menyelubungi kelemahan
pemerintahan yang materialistik. Jika ‘Ali r.a. menyamai lawannya dengan
mengenepikan akhlak dan moral maka dia akan gagal dari kacamata keimanan. ‘Ali
r.a. berkata, “Dia (lawanku) bukanlah lebih pintar daripada aku tetapi dia rela
khianat dan ingkar. Kalaulah aku tidak bencikan pengkhianatan, mungkin aku
adalah manusia paling pintar.”
Umar Abdul Aziz dan Kesan
Amanahnya serta Dasar Reformasi-Islahiy
Yahya bin Saad berkata, “Aku
diutuskan oleh Umar Abdul Aziz untuk mengutip zakat dari penduduk Afrika maka
tugas ini aku dapat laksanakan, namun apabila aku hendak mengagihkan kutipan
kepada fuqara disana, tiada seorang pun yang faqir, sesungguhnya Umar telah memewahkan
rakyat, lalu aku terus menggunakan zakat itu untuk membebaskan hamba sahaya.”
Anak kepada Zaid bin Al-Khitob
berkata, “Umar Abdul Aziz hanya memerintah selama 30 bulan sahaja, namun pada
waktu itu jika disuruh seseorang untuk memberikan zakatnya kepada faqir miskin,
nescaya dia tidak akan menjumpai sesiapa pun kerana Umar telah mengkayakan
rakyat”.
Imam At-Tobari berkata, “Sesungguhnya
Khalifah Al-Walid suka kepada binaan dan seninya, maka rakyat ketika itu
apabila berjumpa akan saling berberbicara tentang pembinaan. Khalifah Sulaiman
pula suka perihal bernikah dan makanan enak, maka manusia apabila berjumpa akan
berbual sesama mereka tentang nikah dan makanan. Apabila dilantiknya Umar Abdul
Aziz menjadi khalifah, manusia apabila berjumpa satu sama lain, mereka akan
bertanyakan, “Adakah kamu sudah lakukan Qiyam?, “Berapa juzuk telah kamu hafaz?”
“Bilakah kamu akan khatam?”, “Berapa hari kamu berpuasa sunat?” dan seumpamanya.
Imam Hassan Al-Basri dan
Prinsip Ketegasan
Selepas kewafatan Umar Abd Aziz yang
dibunuh oleh kelompok elit bangsawan yang membencinya, khilafah kembali
memasuki era kegelapan. Khalifah ketika itu hanyut dalam korupsi dan maksiat,
serta cahaya perubahan Umar Abd Aziz kini digugat oleh kuasa kejahatan kembali
yang dahulunya sunyi di era Umar.
Ketika itu datanglah Imam bernama
Hasan Al-Basri beserta pengikutnya yang berjihad menghadapi kuasa gelap ini. Pada
era pemerintahan Khalifah Yazid bin Abd Malik yang terkenal zalim, Hasan Al
Basri telah melantik Umar ibn Hubairah Al-Fuzariy sebagai Gabenor Iraq dan
Khurasan. Maka guguplah sang Gabenor untuk berkhidmat dibawah khalifah zalim,
lalu dipanggilnya alim ulama ulung memberi nasihat dan pedoman kepadanya iaitu
Muhammad ibn Sirin, Sya'bi dan Hasan Al-Basri.
Sang gabenor bertanya dengan
keluh kesah "Bukankah Yazid ini Khalifah yang dilantik Tuhan? Maka mahu
tidak mahu kita kena patuh dia, b,etulkah? Apa pandangan kamu?"
Muhammad ibn Sirin dan Sya'bi memberi
nasihat dengan penuh berlapik dan tidak berterus terang.
Tetapi apabila tiba
giliran Imam Hasan Al-Basri, beliau terus menegur si gabenor,
"Wahai Anak Hubairah, takutlah
Allah jika kamu turuti Yazid, dan jangan takut Yazid dalam melakukan suruhan
Allah.
Ingatlah bahawa Allah Yang Maha
Melindungimu dari kejahatan Yazid dan Yazid tidak mampu melindungimu dari azab
Tuhanmu.
Ingatlah bahawa Tuhan Maha
Berkuasa menghantar kepadamu malaikat, maka dia akan melenyapkan kamu daripada
keenakan tilammu, dan mencabut kamu keluar daripada keluasan istanamu ke dalam
kesempitan liang lahad, ketika itu hanya amalmu yang mampu menyelamatkanmu.
Wahai anak Hubairah, jika kamu
derhaka kepada Allah maka ketahuilah bahwa kekuasaan yang diberi kepada kamu
itu tujuannya untuk membantu agama Allah dan hambaNya.
MAKA JANGAN KAMU TUNGGANG
AGAMA ALLAH DAN HAMBANYA UNTUK MENIKMATI KUASA YANG DIPINJAMKAN ALLAH.
Ingatlah bahwa tiada ketaatan
kepada si makhluk yang derhaka kepada Tuhannya."
Maka tenanglah si gabenor, lalu
merungutlah Sya'bi dan Muhammad ibn Sirin dengan sedih lalu mereka berkata. "Kita
menjawab dengan jawapan yang miskin dan sia sia, maka ganjaran kita pun sia sia
sahaja."
Syaikhul Islam Ibnu Taymiah
dan Prinsip Keberanian
Imam Ibnu Taymiah adalah
manifestasi Ulama Pejuang yang tulen dan bukan seperti ilmuwan pendingin udara
yang kini semakin bercambah. Berikut sebuah kisahnya yang penuh iktibar:-
Sampai berita kepada penduduk
Syam bahawa bala tentera Mongol telah diaturgerak menghala kearah Syam. Ketika itu
juga seruan Jihad dilaungkan di negeri Syam, dan rakyat Syam diberi khabar
gembira bahawa Sultan Mesir telah mula menggembleng bala tenteranya bagi
menghadapi musuh Mongol yang menghampiri perbatasan negara Islam.
Malangnya rakyat Syam kembali
berduka dan panik apabila Sultan Mesir dan tenteranya berpatah balik kembali ke
Mesir kerana berasa kecut berhadapan kekuatan Mongol. Terpekik terlolong rakyat
Syam berada dalam ketakutan, dan ramai yang mula bungkas melarikan diri ke
negara-negara jiran, dan anak-anak kecil diletak atas tunggangan demi
menyelamatkan diri dari serangan rakus tentera Mongol.
Apabila keadaan seakan-akan sudah
gelap dan tiada harapan, muncul Sheikhul Islam Ibnu Taymiah datnag bertemu
gabenor negeri Syam yang sedang bersiap siaga di sempadan. Ibnu Taymiah memberi
nasihat dan kata-kata semangat, bahawa kemenangan dari Allah hampir tiba, maka
usah gusar dan hadapilah musuh dengan berani!
Lantas atas saranan para pemimpin
dan gabenor Syam, Ibnu Taymiah berangkat ke Mesir untuk menyeru Sultan Mesir
agar tidak mensia-siakan harapan rakyat Syam yang sangat mengharapkan bantuan
baginda. Sebaiknya tiba di Mesir, Ibnu Taymiah sempat bertemu Sultan yang
ketika itu baru sahaja masuk ke Kaherah. Dengan penuh semangat dan bertenaga
Sheikhul Islam Ibnu Taymiah menghamburkan kata-kata keramatnya kepada Yang
Mulia Sultan. "Jika ditakdirkan bahawa kamu bukan Penguasa dan Raja Syam,
dan Rakyat Syam masih memohon bantuan kamu, Maka WAJIB bagi kamu membantu
mereka!,,,,Apatah lagi, kamu ini SEMEMANGNYA Penguasa dan Raja SYAM, rakyat
Syam adalah rakyat kamu! KAMU bertanggungjawab atas hal keadaan mereka!"
Ibn Taimiyah berkata lagidan
mengugut, "Sekiranya kamu enggan dan mahu berpaling dari menolong mempertahankan
Syam, maka kami rakyat Syam akan melantik RAJA BARU yang bakal mempertahankan
negeri kami dan mentadbirnya!"
Selama LAPAN HARI Sang Imam
berkampung di Mesir berusaha memaksa Sang Raja pengecut agar turun
mempertahankan maruah SYAM daripada dirobek Mongol. Akhirnya, dengan taufik Allah
swt, Sultan Mesir bersetuju berangkat dari Mesir beserta bala tenteranya menuju
ke Syam.
Tentera Mongol sudah hampir ke
Syam, rakyat Syam mula panik, sehingga datanglah seruan "Sesiapa yang
mampu melarikan diri, maka usahlah duduk di Syam lagi, LARILAH." Anak
kecil dan wanita menjerit pekik, rakyat Syam digoncang dengan musibah berat,
tiada lagi yang mampu menyelamatkan mereka kecuali ALLAH. hingga dikatakan
"kini rakyat Syam akan menjadi makanan buat Mongol!" Rakyat Syam tua
dan muda melarikan diri ke padang pasir, dan tempat-tempat kosong di luar Syam
dan tiadalah yang tinggal di Syam melainkan sedikit sahaja. Namun diseru juga
ditengah kepanikan itu, "Barangsiapa yang berniat JIHAD, maka sertailah
tentera Syam!.” Para Ulama Syam tampil diantaranya Syarifuddin ibn Taymiah
saudara kepada Sheikhul Islam Ibnu Taymiah. Mereka menasihati pemimpin Syam
untuk thabat – berdiri teguh melawan asakan Mongol.
Ibnu Taymiah tiba dari Mesir
membawa berita gembira, “Sultan kamu sudah berangkat untuk melawan Mongol, para
jemaah menteri Mesir sudah bangkit membawa bala tentera untuk mempertahankan
Syam. Bergembira rakyat Syam akhirnya Sultan mereka sudah berwibawa, dan
bergembiralah kerana tentera Mongol kembali mundur ke negara mereka merentasi
sungai Furat.
Pertemuan Ibnu Taymiah dan
Qazan
Namun tidak lama kemudian tentera
Muslimin ditewaskan oleh tentera Tatar, lalu Damsyik dikuasai oleh mereka. Maka
berangkatlah Imam Ibnu Taymiah beserta sekumpulan ulama berjumpa dengan ketua
Taghut Tatar iaitu Qazan. Salah seorang sahabat Ibnu Taymiah yang berada di
majlis itu merekodkan perjumpaan tersebut dengan berkata,
“Sheikh Ibn Taymiah mula
berbicara kepada Qazan tentang suruhan Tuhan dan RasulNya untuk melakukan keadilan
dan kebaikan dan beliau juga mengangkat suaranya keatas dictator itu. Bahkan
beliau berani bersuara menegur Qazan hingga hampir sahaja lututnya bertemu
dengan lutut Qazan. Dan Qazan pula mendengar dan menerima dengan terbuka
teguran IbnTaymiah lantas bertanya “Siapakah ilmuwan ini? Tidak ada alim yang
kata-kata sepertinya yang membekas di
hati aku.” Ibnu Taymiah pula berkata kepada penterjemah Qazan, “Katakan kepada
Qazan, kamu menyangka kamu Muslim dan beserta kamu ada Qadhi, Imam, Ulama, tetapi
kamu masih memerangi kami. Bapa dan datuk kamu pula kafir namun mereka berdua
tidak melakukan kebobrokan seperti apa yang kamu lakukan, mereka apabila
berjanji mereka tepati, tetapi kamu apabila berjanji terus mengkhianati”.
Hasil dari pertemuan itu,
dibebaskan kebanyakan tawanan muslimin daripa penjara Mongol Tatar dan darah
ummat Islam terbela.
Imam Ibn Taimiyah berkata, “Seorang
rijal tidak akan sekali-kali takut selain Allah melainkan kerana ada penyakit
dihatinya. Pada suatu hari ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin
Hanbal tentang ketakutannya terhadap sebahagian pemimpin, maka dijawab Imam
Ahmad, “Sekiranya kamu benar-benar sihat kamu tidak akan takut akan sesiapa”.”
Ibnu Taymiah bersama Ketua Hakim
dan beberapa orang ulama besar dijemput oleh Qazan menghadiri jamuan di
istananya. Sementara semua orang enak menjamah makanan, Ibn Taymiah tidak makan
lalu ditanya kepadanya mengapa beliau tidak menjamah makanan lazat yang
dihidang. Imam Ibnu Taymiah berkata, “Bagaimana aku hendak makan sedangkan
semua ini kamu rampas daripada harta rakyat dan kamu masaknya dengan memotong
dahan-dahan pokok milik rakyat?”
Lantas Qazan memintanya untuk
berdoa, dan Imam Ibnu Taymiah berdoa. “Ya Allah sekiranya Qazan ini
sesungguhnya berperang semata-mata untuk menegakkan KalimahMu maka bantulah
dia, sekiranya dia berperang semata-mata untuk kekuasaan dan dunia, maka
hukumlah dia.” Pada ketika itu juga ulama-ulama lain yang hadir cepat-cepat
mengangkat kain jubah mereka kerana bimbang Qazan memancung lehernya lalu
tersembur darah terkena pakaian indah mereka. Ketua Hakim Abul Abbas berkata kepada
sang imam, “Hampir sahaja kamu memusnahkan kami bersama-sama kamu. Mulai hari
ini kami tidak akan bersahabat dengan kamu lagi.” Ibn Taimiyah menjawab, “ Aku juga tidak
akan bersama kamu semua lagi.”
Apabila Imam Ibn Taymiah mahu beredar, datanglah
kepadanya pembesar-pembesar serta orang ramai yang mengiringinya seramai hampir
300 penunggang kuda. Adapun si ketua hakim dan konco-konconya, mereka telah
disamun di pertengahan jalan.
Sultonul Ulama Al-Izz bin Abd
Salam dan Prinsip Keteguhan Pendirian
Suatu hari, Sultonul Ulama Al-Izz
ibn Abd Salam berjumpa dengan Sultan Najmuddin Ayyub yang lengkap dengan
pakaian dan perhiasan gahnya dan dihadapan mereka terbentang luas bala tentera
Sultan yang hebat. Berkata Sultonul Ulama Al-Izz kepada sultan yang takabbur
“Wahai Ayyub, apa alasan kamu dihadapan Allah, apabila Dia memberi kamu
kekuasaan atas Mesir namun masih ada kedai di bawah kerajaanmu yang menjual
arak?”. Sultan Najmuddin berpura-pura tidak tahu dan menafikan perkara
sedemikian seraya berteriak sang Ulama dengan bengis “Kedai si fulan masih
aktif menjual arak dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain, namun kamu
masih leka dengan menikmati keselesaan kerajaanmu!” Lalu menikus si sultan seraya berkata, “Wahai
tuanku, itu berlaku dizaman ayahku..” Membentaklah sang ulama seraya berkata,
“Kamu ini sama dengan perihal musyrikin yang memberi alasan “Sesungguhnya kami
mendapati nenek moyang kami dalam kebenaran.“ Akhirnya sultan akur dan arahan
dikeluarkan untuk melarang jualan arak di seluruh kerajaan. Anak muridnya
bertanya kepada Al Izz, “Bagaimana kamu mampu untuk melakukannya?” Sultonul
Ulama menjawab “Wahai anakku, aku melihat dirinya dalam keadaan sombong dan takabur,
lalu aku ingin merendahkan dirinya supaya takabur itu tidak memusnahkannya.” Si
anak murid bertanya lagi “Tidakkah kamu takut kepadanya?” Sultonul Ulama
membalas “Demi Allah aku takut, namun aku teringat keagungan Allah lalu aku
dapati Sultan itu rendah dibawah kakiku ibarat kucing.”
Sultonul Ulama menjual
Pemimpin
Sultan Najmuddin Ayyub telah
membeli beberapa mamalik dan meletak mereka di posisi kuasa dan duit
belian itu diambil dari baitul mal. Imam Al-Izz memandang bahawa setiap tasyarruf
yang dilakukan mamalik ini tidak sah kerana mereka masih berstatus
hamba. Maka murkalah si sultan dan kroni mamaliknya dan mengatakan urusan ini
tidak ada kaitan dengan Al Izz yang adil. Sang imam menyedari bahawa Sultan dan
kroninya berpakat keatasnya, lalu beliau mengumumkan bahawa beliau meletakkan
jawatan dari kehakiman dan mahu berpindah keluar dari Kaherah. Berbondonglah
rakyat Kaherah keluar mengikuti Imam Al-Izz lalu berkata,
“Tidak ada kebaikan di Mesir
sekiranya tiada padanya Al-Izz bin Abd Salam serta mereka yang sepertinya yang
bangkit demi kebenaran, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran,
berjihad di jalan Allah, tidak gentar dengan kutukan musuh.”
Melihat suasana itu Sultan menjadi
bimbang kerana risau kerajaannya akan lumpuh apabila tiada lagi Al-izz yang
mempunyai sokongan yang kuat dari rakyat.
Sultan sendiri menaiki tunganggan dan pergi mencuba memujuknya, dan Naib
Sultan pula cuba memberi kepadanya hadiah lumayan namun Imam al-Izz tidak
berganjak kerana beliau mahu melaksanakan hukuman Allah. Naiklah darah Naib
Sultan lalu merencanakan untuk membunuhnya, lantas dia meluru ke rumah imam
sambil membawa pedang. Pintu diketuk dan anaknya memberitahu sang imam tentang
hasrat Naib Sultan ini. Sang Imam menjawab dengan tenang, “Wahai anakku, bapamu
lebih rendah darjatnya untuk dibunuh di jalan Allah.”
Ketika itu Naib Sultan melihatnya
serta bergegarlah tangannya dengan ketakutan lalu tersungkur ke bumi sambil
menangis serta memohon dari Imam Al-Izz agar mendoakannya serta dia akur kepada
kehendak Imam. Kemudian semua pemimpin-pemimpin dan raja-raja yang berstatus
hamba mamalik ini dijual oleh Imam Al-Izz lalu dimerdekakan, dengan hasil wang jualan
yang mahal itu digunakan untuk maslahah ummat islam. Lantas, sang Imam digelar
sebagai Sultonul Ulama dan Penjual Raja-Raja.
Inilah manifestasi utuh
menggambarkan hadith Nabi ﷺ, “Sebaik-baik jihad adalah berkata yang benar dihadapan
pemimpin yang zalim.”
Umar Tilmisani, Mursyidul Am
Ikhwanul Muslimin ke 3 dan Prinsip Integriti
Umar Tilmisani merupakan anak
didik Al-Imam Hasan Al-Banna, dan memiliki jiwa Rijalul Mabda’ yang
layak membawa ruh Syariah. Penulis disini hanya mampu membawakan kisah
ketegasan beliau yang begitu sekali beramanah dan jujur dalam menyebarkan
dakwah. Suatu hari, beliau dijemput oleh sebuah Majalah Agama untuk
menyampaikan ceramahnya, dan beliau diberikan sepucuk sampul mengandungi duit.
Umar Tilmisani bertanya, “Ini apa?”. Pihak penganjur menjawab, “Ini upah untuk
kos kedatangan tuan ke sini.” Umar menjawab, “Saya sudah mempunyai kereta yang
disediakan oleh Ikhwan.” Pihak penganjur berkata, “Semua orang mendapat upah
yang sama.” Lantas Umar Tilmisani menjawab
dengan tegas, “Saya tidak sama dengan mereka itu, saya bekerja semata-mata
kerana Allah,” lalu beredar tanpa mengambil sampul berisi wang tersebut.
Beliau juga pernah bertemu dengan
Perdana Menteri Mesir era Anwar Sadat untuk urusan khusus berkenaan Ikhwan.
Setelah berbincang, Perdana Menteri menyatakan kerajaan mendukung semua surat
khabar dan majalah yang ada di Mesir terutama Ad-Dakwah milik Ikhwan, sebagai
majalah Islam. Umar Tilmisani dapat mengagak ada helah dan rencana mahu
mengkorupsikan dirinya lantas dia terus berkata dengan dialek Arab pasar “Wahai
Tuan, hati-hatilah, saya jangan lagi diajak berbicara tentang ini.” Pertemuan
itu pun berakhir dan Umar Tilmisani terus beredar.
Pada suatu program, seorang pegawai rasmi membawa wang yang
berjumlah banyak sebagai upah, lalu ditolak Umar Tilmisani. Pegawai itu berkata
“Orang lain mendapat separuh dari jumlah ini”. Dengan tegas Umar Tilmisani
menjawab, “Kita sangat berbeda, saya tidak ingin memperoleh imbalan atas pidato
yang saya sampaikan di jalan Allah.”
Penutup
Ini hanyalah setitik dari lautan
kisah Rijalul Mabda’ (Pejuang Islam) yang sempat penulis sisipkan dalam
tulisan ini. Ketahuilah wahai pembaca yang budiman, Syariah itu sememangnya
indah dan sempurna namun tugas bagi penggeraknya untuk membawa dan menyebarkan
risalahnya kepada semua, namun apa guna terma yang pelbagai seperti Islam
Rahmah, Fiqh Maqasid dan lain-lain jika tidak dipimpin oleh rijal berprinsip.
Seumpama kereta yang hebat dan canggih namun sia-sia jika dipandu orang yang
gila atau tidak kompeten. Sememangnya Rijal dan Mar’ah ini akan
diuji dengan ujian kuasa, harta, pangkat dan lain-lain sehingga akhirnya hanya
yang benar-benar beramanah lagi berprinsip seperti tokoh-tokoh yang telah dikisahkan
tadi yang layak untuk merangkul sebagai Pembawa Panji-Panji Islam. Sewajibnya
bagi ummah agar tidak menjual serta menggadai prinsip dan amanah hanya untuk
menjaga keuntungan populariti, menjaga dokongan pengikut dan meraih kuasa.
Belajarlah dari Rijal-Rijal ini yang thabat atas jalan dakwah
samada dalam politik, kehakiman, perniagaan atau apa-apa posisi sekalipun.
Bertadabburlah AYAT ini wahai
saudara pembaca yang budiman!
Allah swt berfirman
Surat Al-Hajj Ayat 38
۞ إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ
عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
Sesungguhnya Allah membela
orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap
orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.
Surat Yusuf Ayat 21
وَقَالَ الَّذِي
اشْتَرَاهُ مِنْ مِصْرَ لِامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَىٰ أَنْ
يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا ۚ وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي
الْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ وَاللَّهُ غَالِبٌ
عَلَىٰ أَمْرِهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Dan orang Mesir yang membelinya
berkata kepada isterinya: "Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang
baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai
anak". Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada
Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta'bir mimpi. Dan
Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada
mengetahuinya.
Surat An-Nur Ayat 37
رِجَالٌ لَا
تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ
وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ
وَالْأَبْصَارُ
Laki-laki yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati
Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka
takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi
goncang.
Surat An-Nur Ayat 38
لِيَجْزِيَهُمُ
اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ يَرْزُقُ
مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
(Mereka mengerjakan yang
demikian itu) supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan)
yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah
karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang
dikehendaki-Nya tanpa batas.
1. Tafsir Al Azhar, Buya Hamka
2. Tafsir Fi Zhilalil Quran, Sayyid Qutb
3. Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam oleh Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi
4. Sultonul Ulama wa Ba’ie Al-Umara’, Ali Muhd Muhd As-Solabi
5. Memoir Umar Tilmisani, Mursyid Am Ketiga Ikhwanul Muslimin
6. Social Justice in Islam, Sayyid Qutb
Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani
Timbalan Yang di Pertua
Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang
5/2/2020

Comments
Post a Comment