Skip to main content

DR SIDDIQ FADZIL: MEMBINA KESATUAN BANGSA MALAYSIA



MEMBINA KESATUAN BANGSA:
KERUKUNAN HIDUP BERSAMA  DALAM BUDAYA DAMAI

Siddiq Fadzil


Bilakah kita dapat menembusi jurang perbezaan
kemiskinan dan kelaparan dengan kekayaan yang berlebihan
antara dua golongan masyarakat
suatu janji dan erti  kemerdekaan?

Bilakah semua warganegara mendapat hak
layanan dan keadilan yang sama
dikenali dengan satu rupa nama
Bangsa Malaysia?

S.N. Usman Awang 1979/1983




Mukadimah

Setelah 62 thun merdeka, Malaysia tampaknya masih belum bebas dari gejala rasisme.  Menjelang tempoh realisasi Wawasan 2020 yang mengaspirasikan kewujudan Bangsa Malaysia yang bersatu,  masyarakat Malaysia semakin kalut tuduh-menuduh siapa rasis, siapa ekstremis.    Tempoh yang demikian panjang, tampaknya belum cukup untuk menjadikan kita bijaksana dalam mengurus kepelbagaian.    Kita masih gagal menyikapi pluraliti secara positif sebagai kurnia Tuhan kepada Malaysia.  Justeru, kepelbagaian adalah jelmaan divine wisdom dalam rupa sunnatu ‘Llah yang sarat dengan hikmah keindahan dan kekuatan.   Demikianlah andainya disikapi dan diurus dengan bijaksana, kepelbagaian (ikhtilaf) tidak akan menjadi permusuhan (tanazu`).  Kepelbagaian (bangsa, ras, etnik dan seterusnya) diciptakan   dengan maksud ta`aruf atau saling mengenal.   Kata lita`arafu (surah al-Hujurat:13) yang biasa diertikan sebagai “...untuk saling mengenal” itu  jelas membawa makna dan rasa kekentalan semangat kesalingan (reciprocity). 


Kepelbagaian dan Semangat Kesalingan (Reciprocity)      

Memang al-Qur’an tidak memperincikan apa kelanjutan “saling mengenal”,   tetapi mesej tersiratnya dapat ditangkap,  bahawa ia tidak berhenti sebatas “saling mengenal”,  sebaliknya berlanjut kepada saling mengakui, saling menghormati, saling memanfaatkan dan saling membantu.   Aktualisasi semangat kesalingan sedemikian itulah yang telah melahirkan sebuah tamadun gemilang yang berciri kesatuan (unity) dan kepelbagaian (diversity).    Yang pelbagai tetap pelbagai,  tetapi ada bingkai pemersatu yang dapat menciptakan kerukunan, kedamaian dan kesatuan bangsa.

Dengan semangat kesalingan yang inklusif,  Islam menerima kehadiran orang lain,  tidak hanya dengan mengiktiraf jati diri biologisnya (suku, kaum, bangsa), tetapi juga jati diri agama dan budayanya (bahasa dan `uruf).    Prinsip kebebasan beragama (la ikraha fi al-din) yang secara konsekuensial melahirkan fenomena kepelbagaian agama seharusnya  dimaknai secara praktis dengan budaya saling menghormati dan toleransi antara agama.  Kepelbagaian jati diri kebahasaan disebut secara khusus dalam surah al-Rum:22  sebagai tanda kebesaran Tuhan, yang tentunya meliputi kebijaksanaan-Nya.  Orang awam mungkin tidak dapat menangkap hikmat tersirat di balik kepelbagaian ciptaan Tuhan.   Kerana itu ayat tersebut berhujung dengan pernyataan bahawa kepelbagaian adalah tanda yang dapat difahami oleh mereka yang berilmu (al-`alimin).  Maksudnya, untuk dapat mengapresiasi hikmah kepelbagaian diperlukan tahap keilmuan yang memadai.  Seterusnya,  apabila Islam mengiktiraf `uruf atau adat sesebuah masyarakat sebagai salah satu sandaran penentuan hukum (fatwa),  bererti  pengiktirafan terhadap kepelbagaian adat budaya yang telah teruji kemampuannya merentas zaman dalam mengatur kehidupan warganya.

Tanpa pengurusan yang bijaksana,  kepelbagaian memang berpotensi menjadi pencetus kecemburuan antara ras, dan seterusnya menumbuhkan rasisme.  Kerana itu gejala rasisme harus sentiasa diwaspadai.    Rasisme adalah suatu kepercayaan bahawa sesuatu ras lebih unggul (superior) daripada ras yang lain;   dan demikian sebaliknya, sesuatu ras lebih rendah (inferior) daripada yang lain.    Rasisme dalam pengertian tersebut  meliputi rasa unggul dari segi watak, perilaku,  moral dan intelektual sesuatu ras tertentu.    Bentuk lain rasisme ialah kebencian (hatred) terhadap sesuatu ras,  dan ini membuka ruang kepada orang lain menyertainya (joining of the hate groups).  Antara yang disebut sebagai penyumbang kepada maraknya rasisme ialah kondisi individual dan sosial.   Rasisme biasanya tumbuh di tengah kemelut sosial dan ekonomi.   Faktor idealisme juga turut memainkan peranan.  Cita-cita (Ideals) yang diusung oleh golongan rasis mempunyai daya tarik yang kuat,  malah dikatakan kepercayaan rasis dapat menggantikan kepercayaan agama.    Seterusnya keinginan untuk diterima ke dalam kelompok rasis juga menjadi satu faktor.   Selain itu motif cita-cita (ambition) juga turut berperanan,  dan ini ada kaitannya dengan nafsu kekuasaan.  Ada golongan yang melihat peluang dalam rasisme untuk menonjol sebagai orang penting, yang nanti dengan bermodal kepercayaan ras yang lebih unggul akan dapat menguasai masyarakat.  Seterusnya rasisme juga sering  tumbuh dalam kalangan mereka yang memiliki kepercayaan diri yang rendah dan mereka yang berasa berada dalam keadaan tidak selamat.  (Noel, J., 2000:53).

Gejala rasisme dalam politik dunia dan politik lokal terasa semakin memprihatinkan.   Sama ada ia disebut nasionalisme sempit,  identity politics atau lain-lainnya,  tetap terasa nuansa rasisnya.   Politik identiti  seperti yang dipakai oleh Francis Fukuyama,  dalam jelmaan aktualnya tidak lain adalah sejenis politik penegasan dan pengentalan identiti kelompok, ras dan agama yang mengandungi semangat menolak orang lain, dan tidak toleran terhadap perbezaan dan kepelbagaian.    Untuk  memelihara kerukunan hidup bersama dalam kepelbagaian,  gejala rasisme harus dikawal dengan melaksanakan  program sosio-ekonomi yang adil.   Kecemburuan antara ras harus dihindari menerusi dasar-dasar inklusif yang menepati  citra masyarakat tanpa kebencian dan tanpa diskriminasi.           


Sahifah Madinah:  Piagam Inklusif

Dalam sejarah Islam,  wadah kepelbagaian yang bersemangat kesalingan tersebut terjelma dalam bentuk kesepakatan politik Sahifah Madinah.    Ia adalah sebuah piagam inklusif yang meliputi pelbagai komponen  -   Muslim dan bukan Muslim.    Piagam Madinah telah membentuk satu bangsa dalam pengertian ummah siyasiyyah  berasaskan konsep kewarganegaraan penuh untuk semua.   Konsep kewarganegaraan sedemikian itulah yang diserlahkan kembali dalam  Al-Azhar Declaration for Citizenship and Coexistence,  2017.    Dalam resolusi pertamanya, deklarasi tersebut menyatakan:

                         First, the concept of ‘Citizenship’ has its origin in Islam as it was perfectly
                         applied  in  the  constitutional   document of  Madinah and the subsequent
                         covenants and treaties in which Prophet Muhammad, peace and blessings
                         be upon him,  defined  the relationships between Muslim and non-Muslims. 
                         The Declaration stresses that citizenship is not just a desirable solution but
                          rather a necessary  recalling  of  the first Islamic application of the fairest
                         system   of   governance  to  the  first   Muslim  community  in  the  state  of
                         Madinah.   The prophets   application of citizenship was totally free of any
                         discrimination against any category of the society at that time; it featured
                         policies based on religious,  racial,  and  social pluralism.    Such pluralism
                         could only prosper in an environment of full citizenship and equality under
                         the constitutional  document of Madinah.  The document stated clearly that
                         all citizens of Madinah must be treated equally in terms of their rights and
                         responsibilities, that they together constitute one nation, regardless of their
                         different races and religions,  and that  non-Muslims  have the same rights
                         given to Muslims and are required to fulfill the same obligations imposed on
                         Muslims.  

                         Further to this practical model, Muslim and Arab communities have a rich
                         heritage that features the practice of peaceful coexistence within the society
                         based on diversity and mutual recognition.            (Al-Azhar Declaration for
                         Citizenship and Coexistence, 2017: 12-13.

Realiti politik memang telah berubah,   tetapi prinsip dan nilai yang terkandung dalam piagam inklusif Sahifah Madinah tetap relevan untuk dijadikan formula dan acuan membina bangsa dalam pengertian ummah siyasiyyah. Tidak kurang relevannya ialah konsep  kewarganegaraan  (citizenship/muwatanah) yang berasaskan prinsip persamaan hak dan tanggungjawab,  adil dan bebas dari amalan diskriminatif.  Ayat al-Hujurat tentang kepelbagaian menegaskan bahawa status kemuliaan seseorang tergantung pada tahap  taqwa yang dicapainya, bukan pada asal-usul keturunannya.  Antara wahana utama mencapai taqwa ialah dengan bersikap adil (al-Ma’idah:8).  Jika menolong seorang Melayu yang susah itu adil,  maka itulah taqwa.  Demikian juga jika menolong seorang Cina yang susah itu adil, maka itulah taqwa.  Yang penting adalah tegaknya keadilan,  memberikan hak kepada yang berhak.  Begitu  juga dengan nilai-nilai murni lain yang mendasari peaceful coexistence  atau  budaya kerukunan hidup bersama dalam kepelbagaian. 


Kepelbagaian dan Kearifan Lokal

Aspirasi kesatuan dalam kepelbagaian sebenarnya bukan suatu yang asing bagi masyarakat rantau ini.   Ia telah lama mengakar dalam sejarah dan budaya Nusantara.  Kerana itu semangat ummatik-inklusif  Sahifah Madinah dapat diserasikan dengan kearifan lokal (local wisdom) Bhinneka Tunggal Ika yang pada intinya bererti  pelbagai dan beragam tetapi tetap bersatu.  Ungkapan tersebut berasal dari puisi Jawa kuno karya Mpu Tantular, zaman Empayar Majapahit abad ke-14.    Dalam konteks asalnya memang ia berunsur agama Hindu-Buddha,  tetapi telah mengalami transformasi makna setelah diangkat menjadi moto negara Indonesia dan terakam pada logo Garuda Pancasila.  Ungkapan  Bhinneka Tunggal Ika pada logo tersebut kini membawa mesej aspirasi nasional:  bahawa daerah yang terdiri daripada ribuan pulau, suku-kaum, bahasa dan budaya kini disatukan oleh sebuah negara  iaitu Negara Kesatuan Republik Indonesia.

Pada lambang negara Malaysia pula terukir moto Bersekutu Bertambah Mutu.  Tidak banyak pembicaraan tentang latar dan makna ungkapan yang sebenarnya sangat bererti ini.      Mesej yang dapat kita tangkap ialah bahawa dengan bersekutu dalam erti sistem persekutuan yang tidak menghilangkan kepelbagaian  jati diri warga komponennya akan meningkatkan kualiti dan prestasi bersama.   Andainya seluruh potensi keagamaan dan kebudayaan seperti yang diungkapkan di atas dapat digembleng dengan baik, wawasan pembinaan bangsa berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan akan segera menjadi kenyataan.


Budaya Damai (Salam)

Budaya pemersatu memang berperanan penting dalam konteks negara bangsa.  Justeru, negara bangsa tidak hanya dicirikan oleh batasan wilayah dan daya pertahanannya,  tetapi juga budaya yang dikongsi bersama oleh seluruh warganya.   Seperti yang dinyatakan oleh Michalinos Zembilas dan Zvi Bekerman, “The nation state can be viewed as a political phenomenon that seeks to exercise control over populations by establishing a culture that is at once homogeneous, anonymous (all the members of the polity, irrespective of their personal subgroup affiliations, are called upon to uphold this culture) and ‘universally literate’ (all members share the culture the state has canonized).   ...” (Zembilas, M. and Zvi Bekerman,  2018: 149-150).     Bagi masyarakat plural yang rapuh dan sentiasa terdedah kepada konflik, terutama akibat politik rasis  seperti Malaysia,   budaya yang harus dipromosikan untuk dikongsi bersama ialah budaya damai (salam).   Memang perjuangan membina kesatuan bangsa memerlukan landasan budaya yang kuat.  Dalam konteks ini harus pula disedari cabaran-cabaran yang mungkin menjadi kendala wujudnya budaya damai yang kuat.   Cabaran utamanya ialah membina keyakinan bahawa budaya damai adalah suatu yang mungkin.  Membina keyakinan ini bukan suatu yang mudah.   Budaya damai terasa seperti utopia, mengimpikan damai di tengah maraknya budaya konflik dan perang.  Kuasa-kuasa politik dan media telah membina sebuah mitos: kenescayaan perang dan kemustahilan damai (the myth of the inevitability of war and impossibility of peace).   Mitos tersebut harus diruntuhkan dengan membina keyakinan terhadap hakikat bahawa damai adalah suatu yang mungkin.  Damai sebenarnya ada pada diri setiap orang.  Ia dapat merasakannya dan dapat pula memilih untuk bersikap damai kepada siapa sahaja dan apa sahaja di sekitarnya.   

Bagi umat Islam, damai (salam) adalah Nama Indah Tuhan,  sumber kedamaian. Salam sebagai Nama Tuhan juga sekali gus menjadi nilai teras yang harus dihayati sejauh yang terdaya oleh kudrat keinsanannya.    Salam adalah kedamaian yang didambakan oleh setiap manusia Muslim dalam hidup duniawinya dan hidup syurgawi-ukhrawinya.   Salam adalah ucap selamat untuk semua, termasuk para anbiya’ dan mursalin.  Salam adalah penutup solat yang ditebar luas, kanan dan kiri.

Dalam syari`at Islam,  salam menempati posisi utama sebagai salah satu maqasid (high intent)nya.   Hakikat inilah yang diungkapkan oleh Ahmad al-Raysuniy dalam risalahnya, Maqsid al-Salam fi Shari`at al-Islam (Objektif Damai dalam Syari`at Islam).   Al-Raysuniy memberikan pencerahan tentang makna kata al-silm dalam ayat 208 surah al-Baqarah      yang diertikan oleh sebahagian ulama sebagai agama al-Islam,  tetapi berdasarkan ilmu bahasa dan konteks ayat kata al-silm lebih sesuai diertikan sebagai damai.  Dengan demikian makna sepenuhnya ayat tersebut ialah:

                       Wahai orang-orang yang beriman!  Masuklah ke dalam kedamaian
                       secara keseluruhan,  ...

Memang lebih sesuai kata al-silm diertikan sebagai damai kerana ayat tersebut didahului dengan ayat tentang ancaman Tuhan terhadap pelaku kerosakan (al-fasad), rusuhan dan bertindak anarkis sehingga membinasakan tanam-tanaman dan haiwan ternak.  Jika yang dirosak ialah tanaman dan haiwan,  atau  sikap tidak damai dengan haiwan  dan alam sekitar ancamannya ialah neraka (jahannam), apa lagi jika yang dirosak ialah manusia akibat konflik, pertumpahan darah dan perang.      Kerana itu al-Raysuniy mengatakan ancaman terbesar kepada hifz al-nafs (memelihara jiwa/nyawa) yang menjadi  salah satu daripada lima maqasid al-shari`ah utama ialah konflik, perang dan segala bentuk sengketa lainnya.

Pentingnya maqsid al-salam (objektif damai) dalam syari`at Islam diperjelas lagi dalam surah Quraysh:

                           Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (Pemilik) rumah ini
                           (Ka`bah),  yang telah  memberi  makanan  kepada mereka untuk
                           menghilangkan  lapar  dan   mengamankan   mereka   dari   rasa
                           ketakutan.  (surah Quraysh: 3-4).

Dalam ayat tersebut keamanan digandingkan dengan makanan.  Ini bererti kedua-duanya (makanan dan keamanan) sama pentingnya dalam memelihara nyawa atau kehidupan (hifz al-nafs) manusia.   Hakikat inilah yang mendasari kesimpulan al-Raysuniy bahawa al-salam min a`zam al-maqasid (damai adalah objektif syari`at paling utama).  Al-Qur’an menyebut tujuan penciptaan kepelbagaian ialah untuk saling mengenal (lita`arafu).   Saling mengenal dalam konteks ini harus difahami sebagai permulaan suatu proses interaksi  yang hujungnya adalah damai dalam hidup bersama (coexistence).   Ta`aruf (saling mengenal) adalah kata kunci yang mempunyai jangkauan  implikasi yang jauh,  termasuk pembinaan budaya damai.  Dalam pengertian masa kini budaya (culture) tidak lagi diertikan sebatas manifestasi luaran seperti artifak, seni tampak, seni pentas, adat istiadat dan yang sepertinya,  tetapi lebih jauh dan lebih mendalami daripada itu tumpuan budaya lebih terfokus pada akar  dan esensi hakiki yang berupa nilai, persepsi dan kepercayaan  masyarakat.    Demikianlah konsep budaya seperti yang diungkapkan oleh Jana Noel:

                     Culture is a way of seeing, perceiving and believing.     Although earlier
                     definitions focused more on artifacts and customs, current conceptions
                     of culture  have  looked at  the underlying beliefs and perspectives that
                     give  rise  to those  manifestations of  culture.    This  way  of looking at
                    culture  moves  the  focus away  from  the  surface,   outward aspects of
                    culture  and  points  our  attention  to  the  deep structure of culture, to
                    people’s  beliefs and understandings of the world.  (Noel, J., 2000:3).       

Demikianlah yang namanya pluralisme Islam,  bahawa hidup dalam kepelbagaian harus dibina di atas landasan budaya yang memungkinkan hidup bersama secara harmonis (al-ta`ayush al-silmiy/al-`Aysh al-mushtarak).  Untuk itu diperlukan penegakan nilai budaya/agama, terutama nilai keadilan dalam erti memberikan hak kepada setiap yang berhak, bukan dengan dominasi atau   hegemoni sesuatu  kaum ke atas kaum yang lain.  Hakikat inilah yang diungkapkan oleh Najatullah Siddiqiy:

النهي عن تسلط أمة على أمة أخرى:                                                                                

                                    عبادة الله   ويدعو إلى   ،(hegemony ٢١٢/٧ إن الإسلام يرفض التسلط (          
 وحده، لا إلى استعباد الناس، ٠٠٠                                                                            

وقد بين الله سبحانه وتعالى فى كتابه بكل صراحة ووضوح أ ن المسلمين لا                                  
ينبغي أ ن يسععوا ليكونوا مسيطرين و متحكمين على مستوى الأفراد ولا                                    
على مستوى الجماعة،  فقال عز من قائل : تلك الدار الآخرة نجعلها للذين                                    
لا يريدون علوا فى الأرض ولا فسادا والعاقبة للمتقين٠  (القصص: ٨٣)                                    
                            
                                                                ..................................................            
وذلك لأن مهمة المسلمين هي بناء الإنسانية وتعميق الأخوة بين الأمم وليست                              
السيطرة على الآخرين.                                                                                       

                                   (Siddiqiy, M.N., 2016:307-308).

Muhammad s.`a.w. adalah nabiy al-rahmah,  Nabi pembawa misi rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin) yang inti utamanya adalah salam (damai).  Dari premis itulah Siddiqiy merumuskan bahawa fungsi dan misi kaum Muslimin ialah membina kemanusiaan dan memperdalam persaudaraan dalam kalangan umat manusia sejagat,  bukan untuk menguasai atau mendominasi orang lain.


Pendidikan Damai (Peace Education)

Demikianlah kentalnya semangat damai dalam ajaran Islam,  tetapi yang menjadi persoalan ketika ini ialah penghayatannya.   Dalam keadaan mudahnya berlaku konflik keagamaan dan adu-domba perkauman, harus ada usaha kolektif yang intensif dan ekstensif mempromosikan pendidikan karakter yang berintikan Pendidikan Damai (Peace Education).    Pendidikan ini telah diperkenalkan di banyak negara,  tetapi di Malaysia tampaknya belum dikenali dengan meluas.   Memang terdapat perbagai versi dan orientasi Peace Education,  tetapi definisi Wikipedia mungkin dapat membantu memahaminya secara umum, iaitu “Peace education is the process of acquiring the values, the knowledge and developing the attitudes, skills and behaviors to live in harmony with oneself, with others, and with the natural environment.  Pendidikan memang selalu disebut sebagai proses kerana ia bertahap dan memerlukan masa.  Dalam konteks Peace Education  ia adalah proses menerima set nilai dan menguasai ilmu,  juga pembinaan sikap, ketrampilan dan watak yang memungkinkan seseorang hidup harmonis dengan dirinya, dengan orang lain dan dengan alam persekitarannya.

Malaysia hari ini memerlukan Pendidikan Damai  berteraskan nilai-nilai yang dikongsi bersama,  nilai-nilai yang berfungsi sebagai bingkai pemersatu kepelbagaian.    Bagaimanapun Pendidikan Damai tentunya tidak dapat berdiri sendiri tanpa dukungan sistem pendidikan nasional keseluruhannya.  Kurikulum dan buku teks perlu disemak untuk mempastikan tidak ada unsur tersembunyi yang bersemangat kebencian dan kekerasan.  Adanya the hidden curriculum of violence bukan suatu yang tidak mungkin, seperti yang dikesan oleh Albert Einstein, “Our schoolbooks glorify war and conceal its horrors.  They indoctrinate children with hatred.”.    Einstein tidak mengada-ngada ketika mendakwa bahawa buku-buku teks sekolahnya mengagung-agungkan perang, sambil menutup-nutupi kedahsyatan bencana yang diakibatkannya.  Kalaupun ada paparan tentang tindakan-tindakan ketenteraan yang ganas dan brutal, ia selalu dicitrakan sebagai kemenangan dan kejayaan gemilang.  (Darder, A., 2018: 98-99).

Dalam kaitan ini pendidikan Islam juga perlu mengakomodasi aspirasi Pendidikan Damai secara aktif-kreatif dengan menggagaskan Pendidikan Damai dari perspektif Islam yang bertolak dari pandangan sarwa (worldview) tauhidik.    Worldview yang benar akan membina persepsi dan sikap yang benar terhadap segala yang wujud,   dan seterusnya damai dengan Tuhan, dengan diri, dengan sesama manusia dan seluruh warga alam sekitarnya.        

Pendidikan Damai yang Islami harus selamanya didasari kesedaran tentang Tuhan (God conscious),  menyedari kehadiran Tuhan dengan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Indah-Nya.  Nama-nama Tuhan tidak hanya disebut sebagai tawassul ketika berdo`a.  Nama-Nama Tuhan juga pada hakikatnya adalah sumber nilai yang harus dihayati oleh manusia dalam kehidupan kemanusiaannya.    Dengan demikian manusia dituntut menghayati nilai-nilai yang terpancar dari  sifat al-Rahman, al-Rahim, al-`Adl, al-Salam dan seterusnya,  sebatas daya keinsanannya.    Tuhan mempunyai 99 nama, tetapi yang dikehadapankan  ialah al-Rahman al-Rahim (Maha Pemurah Maha Penyayang).    Penghayatan sifat ini akan membentuk watak manusia penyayang yang mempunyai kepedulian sosial yang tinggi, dan ini jelas suatu yang dapat menyumbang kepada pembentukan budaya damai. Menghayati Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah inilah yang dalam bahasa tasawuf disebut al-takhalluq biakhlaqi ‘Llah  (berakhlak dengan akhlak Allah) seperti yang disebut oleh al-Ghazaliy.  Menuruti mahaguru tasawuf tersebut, berakhlak dengan akhlak Allah adalah wahana kesempurnaan dan kebahagiaan manusia.   (Al-Ghazaliy, Abu Hamid Ibn Muhammad.  2003: 45). 

Tuntutan menghayati Nama-Nama Tuhan ternyata ada dalam agama-agama lain juga.  Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe yang menggali ajaran kitab Torah dan teks-teks purba  menyebut tentang learning how to balance by emulating God (Belajar bagaimana mencari keseimbangan dengan meneladani Tuhan).   Dalam huraiannya mereka menyatakan,       …that humans are commanded to emulate God to the best of their abilities.  This means that we are obliged to imitate the good deeds and lofty attributes by which God is metaphorically described.  We must learn from the beautiful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them. (Brackman, R.L. and Sam Jaffe, 2008:195).

Sebuah buku oleh Pope Francis pula membawa judul  The Name of God is Mercy.  Buku yang berbentuk wawancara itu menyebut kata-kata Pope tentang  peri pentingnya mercy dalam agama Kristian,  …the centrality of mercy, which for me is Jesus’s most important message,  ….”.   Menjawab soalan mengapa umat manusia sangat memerlukan mercy,  beliau menjawab, “Because humanity is wounded, deeply wounded.  Either it does not know how to cure its wounds or it believes that it’s not possible to cure them.”.   Seterusnya ketika ditanya bagaimana mercy boleh diajarkan kepada anak-anak (How can mercy be taught to children?)  Pope Francis menjawab:

                        By getting them used to the stories of the  Gospel and to the parables. 
                        By talking with them, and above all by having them experience mercy.
                        By helping them understand that in life we sometimes make mistakes
                        and fall but that the important thing is to always get back up.   When
                        speaking of family, I have said that it is a hospital closest to us:   when
                        someone is sick,  they are cared for there,  when that is possible.     The
                        family is the first school children attend, it is the unwavering reference
                        point for the young, it is the best home for the elderly.  I would add that
                        it is also the first school of mercy,  because it is there that we have been
                        loved and learned to love, we have been forgiven and learned to forgive.

                        I think of the weary  eyes of a mother  exhausting  herself  with  work  to
                        bring food home to her drug-addicted son.   She loves him, in spite of his
                        mistakes.  (Francis, P., 2016: 83-84).    

Demikianlah Pendidikan Damai yang berasaskan nilai-nilai ketuhanan.   Bangsa Malaysia adalah bangsa yang berketuhanan sesuai dengan Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai rukunnya yang pertama. 

Pendidikan Damai yang didasari rukun Kepercayaan kepada Tuhan menghendaki semua warga damai dengan Tuhan,  damai dengan dirinya, damai dengan keluarganya, damai dengan masyarakatnya dan damai dengan alam sekitarnya.   Damai yang inklusif sedemikian dapat direalisasikan dengan menghormati hak semuanya:  hak Tuhan, hak dirinya dan hak yang lain-lainnya.  Dalam Islam hak menempati posisi penting sebagaimana dipesankan oleh Nabi s.`a.w.  bahawa setiap orang menanggung hak yang wajib ditunaikan,  terutama hak-hak yang tersebut di atas.  Pesan Nabi s.`a.w. tentang hak-hak ini berhujung dengan kata-kata fa`ti kulla dhi haqqin haqqah (maka kepada setiap yang berhak berikan haknya).

Menunaikan hak Tuhan ialah dengan memutlakkan ketauhidan dan pengabdian kepada-Nya,  menunaikan hak diri ialah berlaku adil kepada diri sendiri dengan memenuhi keperluan jasmani-rohaninya,   menunaikan hak keluarga ialah dengan memberikan perlindungan dan sara hidup seperlunya, dan menunaikan hak masyarakat ialah dengan kepedulian sosial – khidmat kemanusiaan.    Pendidikan Damai juga harus meliputi pembinaan sikap damai terhadap alam sekitar dengan memugar kesedaran tentang amanat al-istikhlaf (amanah pengkhalifahan),   amanah Tuhan kepada umat manusia sebagai penjaga dan pemelihara alam agar tidak berlaku kerosakan (fasad),   sebaliknya harus dilakukan `imarah,  membangun  dan memakmurkan demi kesejahteraan bersama.  Yang harus dipelihara dengan semangat damai dan menghormati hak, tidak hanya bumi, laut dan tetumbuhan, tetapi juga haiwan yang harus dilihat sebagai keluarga besar Allah (`iyalu ‘Llah) dengan catatan bahawa anggota keluarga yang terbaik ialah yang paling banyak membawa manfaat kepada keluarganya.  Al-Qur’an juga menyebut kumpulan haiwan sebagai komuniti seperti kita (umamun mithlukum).  Ini bererti mereka mempunyai cara hidup sendiri yang harus dihormati.   Menganiaya haiwan adalah suatu pelanggaran hak kebajikan keluarga makhluk Tuhan. Demikianlah erti damai dengan alam sekitar:  menunaikan hak dan menjaga kebajikan alam dengan seluruh warganya  -   flora dan faunanya.  (Masri, A.B.A., 2007: 7).  

Pendidikan Damai tidak hanya menyangkut moral individu,  tetapi lebih daripada itu terkait erat dengan tatanan politik-sosial yang komited kepada penegakan hak asasi manusia.  Justeru,   tidak akan ada kedamaian di tengah keleluasaan pencabulan terhadap hak asasi manusia.  Demikian juga dengan keadilan sosial  yang memang menjadi  prasyarat kedamaian bila-bila dan di mana-mana pun.   Kerana itu Pendidikan Damai harus meliputi pendidikan tentang tonggak-tonggak utama tatanan hidup kemanusiaan yang beradab,  termasuk hak asasi, demokrasi, keadilan sosial, persamaan dan kebebasan.  

Dalam ajaran Islam prinsip dasarnya adalah damai;  sedang konflik, sengketa dan perang adalah kekecualian.  Hakikat ini menjadikan Pendidikan Damai bersikap realistik dalam pengertian mengakui bahawa  masyarakat yang berbudaya damai tidak semestinya sama sekali bebas daripada konflik.   Konflik memang ada dan akan sentiasa ada.    Yang penting Pendidikan Damai dapat membekali warganya dengan ilmu dan kemahiran bagaimana menyelesaikan konflik (conflict-resolutions).  Surah al-Hujurat: 9 mengandungi perintah segera menyelesaikan konflik yang berlaku antara dua kumpulan mukminin.   Lewat ayat tersebut al-Qur’an membina sikap antisipatif berlakunya konflik dalam masyarakat mukmin.   Konflik  yang disebut dalam ayat tersebut jelas berlaku antara dua kumpulan yang sama-sama beriman (ta’ifatani min al-mu’minin).   Apabila konflik seperti itu terjadi,  masyarakat  harus peka dan segera mencari jalan pendamaian (islah) dengan merujukkan kedua-duanya kepada hukum Allah.   Jika ada pihak yang menolak damai, maka harus ada sanksi yang dikenakan ke atas mereka.   Dalam hal ini Pendidikan Damai juga berperanan  membina sikap lebih memilih damai selagi ada jalan.

Pendidikan Damai juga harus seimbang dalam melihat masa lalu, masa kini dan masa hadapan.    Keseimbangan ini perlu untuk mempastikan di mana kita dahulu, bagaimana kita sekarang dan ke mana kita nanti.  Pendidikan Damai yang futuristic akan dapat membaca kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dalam era Revolusi Industri 4.0 misalnya.  Apakah akan ada damai andainya revolusi ini nanti membelah dunia kepada kelompok the winners dan the losers?    Apakah akan ada damai jika akhirnya the winners take all?  Lalu apa peranan Pendidikan Damai dalam menghadapi skenario yang sedemikian?       

Mencari kesepakatan adalah unsur penting Pendidikan Damai.  Kesepakatan dapat dicapai melalui amalan dialog dan shura (musyawarah).  Dialog yang jujur akan menghasilkan kesalingan  -   saling memahami, saling menghormati dan saling bertoleransi.  Sementara itu, shura (musyawarah) yang bertolak dari niat yang tulus dan dilaksanakan mengikut kaedah dan etika yang murni akan menghasilkan keputusan yang terbaik.   Musyawarah adalah proses pertukaran pendapat yang berhujung dengan memilih yang terbaik.   Untuk sampai  ke matlamat memilih ang terbaik harus ada jaminan kebebasan bersuara (freedom of expression/hurriyyat al-ta`bir),  hak untuk didengar yang diimbangi dengan kewajipan mendengar.   Kebebasan berekspresi harus diertikan juga sebagai kebebasan dan hak berbeza pendapat dengan siapa sahaja tanpa risiko.    Seterusnya harus ada pula ketulusan dan ketelusan dalam pengungkapan fakta,  sehingga tidak ada fakta yang disembunyikan.     Shura yang demikian sifatnya tentu sahaja mengandungi risiko perbezaan pendapat dalam membuat pilihan yang terbaik.   Kerana itu semua harus tunduk kepada nilai utama “memelihara perpaduan dan kesatuan”.

Dalam tradisi Islam ada amalan mulia nasihat menasihati dan amar makruf nahi munkar.   Amalan ini juga seharusnya menjadi komponen penting Pendidikan Damai.  Pembudayaan amalan korektif ini akan membina watak peduli,  tidak membiarkan kesalahan berlarut-larut dan berleluasa.   Ia juga sekali gus membina watak  berjiwa besar,  bersikap terbuka menerima kritik dan teguran demi kebaikan bersama.   Tidak ada siapa pun yang mengatasi kritik dan teguran.  

Pendidikan Damai dapat dijayakan dengan mengangkat nilai-nilai akhlak mulia yang memang menjadi maqasid utama agama Islam.  Justeru,  Nabi s.`a.w. diutus adalah demi penyempurnaan akhlak mulia.    Nilai akhlak bersangka baik (husn al-zann) dan akhlak menutup aib orang misalnya,  dapat membendung sengketa dan seterusnya mewujudkan kedamaian.    Dalam kaitan ini Muhammad Najatu ‘Llah Siddiqiy menyenaraikan lima belas ajaran Islam tentang bagaimana seharusnya orang Islam berinteraksi dengan warga kemanusiaan keseluruhannya (Ta`alim al-Islam fi al-ta`amul ma`a afraid al-bashariyyat jam`a’):

·         Berperilaku baik.
·         Interaksi berpaksikan maaf dan toleransi.
·         Jujur dan menyenangi kebaikan untuk semua orang.
·         Menyelamatkan jiwa manusia.
·         Haram memakan harta orang secara tidak benar (batil).
·         Menepati ukuran dan timbangan.
·         Komitmen melaksanakan keadilan terhadap semua warga kemanusiaan.
·         Pendaulatan keadilan dalam masyarakat manusia.
·         Keangkuhan adalah sifat tercela.
·         Bumi adalah sumber rezeki dan punca pendapatan untuk semua.
·         Manusia seluruhnya adalah anggota satu keluarga.
·         Kemuliaan insan adalah hak semua manusia.
·         Muhammad s.`a.w. adalah Nabi pembawa rahmat sejagat.
·         Kerjasama dan sengketa ada prinsip dan nilai yang harus dipatuhi.
·         Larangan hegemoni atau dominasi suatu kaum ke atas kaum lain.    
                                                                                                   (Siddiy, M.N., 2016: 294-308).

Ternyata Islam cukup kaya dengan ajaran yang memungkinkannya membina Pendidikan Damai dan seterusnya merealisasikan Budaya Damai.   Tuntutan ke atas umat Islam hari ini ialah:  jujur kepada agama sendiri, tidak tergiur dengan motif kepentingan materi-duniawi.

Khatimah

Islam adalah cara hidup yang universal dan abadi,  relevan untuk sepanjang zaman dan semua tempat yang sentiasa berubah.   Kenyataan tersebut hanya mungkin terbukti kebenarannya apabila ijtihad difungsikan sepenuhnya dalam menangani realiti perubahan,   khususnya perubahan politik yang merupakan sektor kehidupan yang paling dinamik.  Pada  masa lalu perubahan politik berjaya ditangani dengan al-siyasah al-shar`iyyah,   disiplin ilmu yang sangat dinamik dengan ruang ijtihadnya yang sangat luas.    Al-siyasah al-shar`iyyah adalah politik berasaskan syari`at yang ruanglingkupnya tidak terbatas hanya pada apa yang telah ditetapkan oleh nass (syarak),  tetapi lebih luas lagi meliputi apa sahaja yang tidak bertentangan dengan nass (syarak).   Dengan demikian ruang ijtihad terbuka luas untuk membuat dasar-dasar baharu  dengan maslahah sebagai asas pertimbangan, sejauh yang tidak bertentangan dengan nass.    Dinamika al-siyasah al-shar`iyyah inilah yang harus dikembalikan untuk menangani realiti-realiti baharu yang terus berubah tanpa henti.

Antara isu-isu yang perlu ditangani dengan pendekatan al-siyasah al-shar`iyyah ketika ini termasuklah isu Negara Bangsa,  pembinaan Bangsa Malaysia,  konsep kewarganegaraan,  kerukunan hidup dalam kepelbagaian,  budaya damai (salam) dan Pendidikan Damai (Peace Education).   Perbincangan tentang isu-isu tersebut mungkin masih pada tahap konsep dan idea-idea dasar yang belum memasuki tahap aplikasi dalam realiti kemalaysiaan yang sebenarnya.   Untuk tahap selanjutnya diperlukan wacana yang lebih intensif dan terperinci,  dengan mempertimbangkan aspek-aspek kesejarahan, kebudayaan dan sosio-ekonomi dan politik  masa kini (fiqh al-waqi`).




,    

Rujukan

Buku

Al-Ghazaliy, Abu Hamid Ibn Muhammad. 2003.  Al-Maqsad al-Asna fi Sharh Ma`ani Asma’i
                       ‘Llah al-Husna.  Beirut:  Dar Ibn Hazm.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2019.  Maqsid al-Salam fi Shari`at al-Islam.  Kaherah: Dar al-Kalimah.

Brackman, Rabbi Levi dan Sam Jaffe, 2008.  Jewish Wisdom for Business Success.  New York:
                       AMACOM.

Francis, Pope.  2016.  The Name of God is Mercy.  London: Bluebird.

Fukuyama, F., 2018.  Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment.  London:
                      Profile Books.

Noel, Jana.  2000.  Developing Multicultural Educators.  New York: Longman.

Masri, al-Hafiz Basheer Ahmad.  2007. Animal Welfare in Islam.   Markfield: The Islamic
                      Foundation.

Siddiq Fadzil, 2016.  Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan.  Shah Alam:
                      Institut Darul Ehsan  (IDE).

Siddiqiy, Muhammad Najatu ‘Llah.  2016.  Maqasid al-Shari`ah wa al-Hayat al-Mu`asirah.
                      Dimashq: Dar al-Qalam.

Zembylas, Michalinos dan Zvi Bekerman.  2018.  Some Reflections on Critical Peace Education
                      dlm. Borg, Carmel dan Michael Grech (ed.),  Pedagogy, Politics and Philosophy.
                      London: Bloomsbury.         


Monograf

Siddiq Fadzil, 2019.  Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Islam dan Budaya Damai.  Shah
                      Alam: Institute Darul Ehsan (IDE).


Persidangan

Al-Azhar  and the Muslim Council of Elders’ Conference,  Al-Azhar Declaration for Citizenship and Coexixtence,  the Final Communique,  Cairo, 28 Feb – 1 March 2017.    Kaherah: Dar al-Quds al-`Arabiy.  

  



IDE/KDH/UNISEL/USIM
10102019.          


Comments

Popular posts from this blog

TUDUHAN ‘FREEMASON’ ADALAH PEMBOHONGAN BESAR DAN FITNAH JAHAT

TUDUHAN ‘FREEMASON’ ADALAH PEMBOHONGAN BESAR DAN FITNAH JAHAT BENCANA FITNAH Allah SWT berfirman yang artinya; “Wahai orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, (sehingga kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) karena sesungguhnya sebagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah sebagian kamu menggunjing setengahnya yang lain. Apakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? ( Jika demikian kondisi mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Jadi patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Q. S. Al-Hujarat : 12). Firman ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah al-Israa’, ayat 36). Sabda Rasulullah ﷺ : "Tidak masuk syurga orang

Fiqh Amanah : Rijalul Mabda’ – Manusia Berprinsip

Pengantar Fiqh Amanah : Rijalul Mabda’ – Manusia Berprinsip Amanah merupakan barang paling berharga yang teramat tinggi nilaninya dianugerahkan serta dibebankan ke atas manusia. Dengan tawaran amanah ini, maka manusia dapat melaksanakan tugasnya selaku Khalifah di bumi Tuhan ini. Maka kenapa ia sungguh penting dan tersangat berat sehingga langit-langit dan bumi serta gunung ganang tidak mahu, tidak sanggup bahkan gerun untuk menerimanya?   Untuk menjawab persoalan ini, ayuh teliti firman Allah swt di dalam Surah Al-Ahzab ayat 72:- إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bod

PEMURNIAN IMEJ PEMBAWA RISALAH

PEMURNIAN IMEJ PEMBAWA RISALAH A.           MENEGAKKAN IMPERATIF MORAL MEMBANGUNKAN KEPIMPINAN مصدر الخير MASDAR AL KHAYR ( Inspiring Personality ) Menginspirasi kepada Kebaikan الخير ( Al Khayr ) adalah Sunnah Agong Rasulullah   ﷺ . Oleh perlu ada usaha bersungguh-sungguh dan terencana bagi menangani fahaman garis keras yang menimbulkan masalah kepada risalah, imej Islam dan dakwah. Semua pihak mesti bekerjasama bagi mengembalikan peranan ilmuwan, agamawan,   pendidik ilmu-ilmu Islam dan aktivis isu Islam kepada pendekatan الوسطية   wasatiyyah - kesederhanaan dan berpandukan hikmah serta tabassur الـتـبـصـر (pencerahan/ foresight)   dan tathabbut   تثبت   (bukti, ketepatan fakta dan angka). B.           PERMASALAHAN SEMASA Terdapat kecenderungan sesetengah agamawan dan pendidik ilmu-ilmu Islam di antaranya membawa mesej yang keterlaluan; menggunakan perli-memerli, cercaan dan maki hamun السخرية ( sukhriyyah ); polemik bersengketa antara agamawan serta k